KITA HANYA MEMPERJUANGKAN NASIB KITA, HANYA KITA SAHAJA YANG TAHU MASALAH KITA, JADI
BERSATULAH DEMI SATU TUJUAN YANG SAMA


PENGIKUT

Mukadimah

Peranan guru GSTT mungkin dianggap remeh. Cukup hanya sebagai pelengkap di sekolah. Itu adalah pandangan segelintir masyarakat. Mungkin juga ada yang tidak menyedari kewujudan guru GSTT. Walhal sumbangan dan perkhidmatan guru GSTT amat penting dalam kelangsungan pendidikan di Malaysia. Malangnya sampai bilakah nasib guru GSTT akan tidak diendahkan. Apakah tiada ertinya pengorbanan selama ini? Untuk itu, guru GSTT perlu bersama-sama memperjuangkan hak sebagai jaminan kehidupan yang lebih bermakna.

Isnin, 4 Julai 2011

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA TPM/ MENTERI PELAJARAN MALAYSIA dan PERKEMBANGAN PROSES PENYERAPAN GSTT

Pada 1 Julai 2011, bertempat di Hotel Legend, Taiping, Perak, TPM/ Menteri Pelajaran Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah diwakili Pegawai Khasnya, Dato' Nadim Bin Awang telah menerima memorandum yang diserahkan oleh Persatuan GSTT Malaysia (PGM). Majlis penyerahan memorandum ini telah disaksikan dan diatur oleh SU Politik Menteri Besar Perak, Dato' Ismail Bin Saffian. Turut hadir ialah Exco Pelajaran Negeri Perak. Berikut adalah petikan surat iringan memorandum tersebut:

Yang Amat Berhormat Tan Sri,

MENUNTUT TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MUHAMMAD YASSIN SELAKU TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA MELALUI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) MELAKSANAKAN SEGALA JANJI TERHADAP GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) SELURUH MALAYSIA DENGAN SEGERA DAN TELUS

Kami daripada Persatuan GSTT Malaysia Malaysia (PGM)menuntut Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Hj Muhammad Yassin melalui KPM melaksanakan segala janji terhadap GSTT dengan segera dan telus.

PGM menyuarakan tuntutan ini memandangkan TPM/ Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan penarikan balik notis pemberhentian 13 000 GSTT 2010 seluruh Malaysia pada 3 Mac 2011. Namun hingga kini (lebih daripada setengah tahun), tidak sampai separuh GSTT dilantik semula. Pada masa yang sama, lantikan GSTT 2011 ada di antaranya adalah lantikan baru sedangkan GSTT lama yang antaranya telah menjadi GSTT selama 9 tahun tidak pula dilantik. Lebih malang lagi bagi GSTT di sesetengah negeri seperti di Perak terutamanya di sekolah menengah belum menerima sebarang surat pelantikan semula daripada JPN mahupun KPM walaupun arahan tersebut telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Terbaru Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi telah berjanji bahawa 13 000 GSTT seluruh negara akan diberi kursus selama 18 bulan untuk diserap sebagai GST dalam masa terdekat. PGM menuntut agar semua janji ini dilaksanakan dengan segera dan telus. Jangan lagi mempermainkan GSTT. Segala janji Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin haruslah ditunaikan tanpa alasan oleh KPM kerana:

a) Bagi menjamin masa depan dan kerjaya GSTT, dan demi masa depan pendidikan negara. Sebelum ini timbul banyak kritikan daripada pelbagai pihak terhadap keupayaan guru KPLI kerana tempoh praktikal yang singkat. Sewajarnya pihak KPM menggunakan pengalaman GSTT yang sememangnya mempunyai minat yang mendalam sebagai guru dan pendidik serta telah melalui tempoh praktikal bertahun-tahun, malah ada yang telah mencapai 9 tahun perkhidmatan.

b) Sepanjang menjadi GSTT juga, kami telah diberi kepercayaan untuk memikul pelbagai tugas penting di sekolah seperti Ketua Panitia, Ketua Penasihat Persatuan, dan Ketua Jurulatih. Pada masa yang sama, tempoh perkhidmatan yang lama juga membolehkan GSTT memahami gelagat dan situasi murid dan menjadikan pengurusan bilik darjah lebih teratur dan kondusif untuk P&P


c) KPM mahupun JPN tidak sepatutnya memberikan alasan tiada kekosongan untuk GSTT di sekolah-sekolah kerana Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) mensasarkan bilangan kelas nisbah guru ialah 1:1.7 dan sehingga kini kebanyakan sekolah masih menggunakan 1:1.5. Adakah pihak KPM telah melupakan PIPP yang telah diperkenalkan mereka sendiri ? Atau adakah PIPP itu sebenarnya hanyalah retorik semata-mata? Selain itu, GSTT juga tidak pernah memilih untuk ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara. Kami berpegang kepada ucapan Y.A.B TPM/ Menteri Pelajaran Malaysia yang disiarkan pada 4/3/2011 bahawa GSTT diminta sanggup dihantar ke tempat lain dan bukan di sekolah asal kerana mungkin di sekolah asal telah diisi guru terlatih






d) Pertambahan defisit negara juga tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu GSTT. Hal ini kerana GSTT telah bertahun-tahun berkhidmat, kenapa baru sekarang timbul soal pertambahan defisit? Malahan sepatutnya penyerapan GSTT ke jawatan tetap dapat membantu mengurangkan defisit jika diuruskan dengan betul dan telus. KPLI/ DPLI patut dimansuhkan sehingga isu GSTT selesai. Tindakan ini boleh menghapuskan kos untuk membayar elaun pelajar KPLI/ DPLI kerana melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) atau Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP), GSTT hanya dibayar gaji mereka seperti biasa tanpa menerima sebarang elaun atau bayaran berkenaan KDC/KDP. Sementara itu, bagi menyambut "transformasi pendidikan negara" yang menekankan pendidikan teknik dan vokasional, KPM juga boleh memberikan latihan iktisas melalui KDC/KDP kepada GSTT yang mempunyai Ijazah dalam bidang-bidang teknik dan vokasional serta telah bertahun-tahun mengajar subjek tersebut di sekolah.

Sebagai menyambut slogan kerajaan, Gagasan 1 Malaysia: Rakyar didahulukan, pencapaian diutamakan, kerajaan harus mengambil kira kesan negatif jika janji terhadap GSTT ini tidak ditunaikan. Antaranya ialah:

a) GSTT yang diberhentikan kontrak mengalami kemerosotan nilai ekonomi kerana mereka sukar mendapatkan pekerjaan lain memandangkan mereka hanya mempunyai pengalaman kerja sebagai guru. Tambahan pula kebanyakan majikan tidak mahu mengambil bekas GSTT 2010 bekerja dengan mereka kerana beranggapan GSTT akan dipanggil berkhidmat dalam masa terdekat seperti yang dijanjikan oleh Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keadaan ini menyebabkan GSTT sukar meneruskan kehidupan harian dengan bebanan hutang dan komitmen yang semakin bertambah. Seperti orang lain yang telah lama bekerja, GSTT juga mananggung liabiliti yang besar seperti ansuran kereta, rumah, kos sara hidup rumah tangga dan juga hutang PTPTN. Lebih memeritkan lagi ada di antara GSTT yang ditamatkan kontrak ini telah kematian suami dan terpaksa menyara 5 orang anak.

b) Dalam kesukaran GSTT meneruskan hidup selepas ditamatkan kontrak, wujud pula golongan yang mengambil peluang dan kesempatan ke atas mereka. PGM menerima banyak rungutan daripada GSTT seluruh negara bahawa mereka perlu membayar RM 200 seorang untuk mendapatkan tawaran mengajar di sekolah swasta. Kami sangat bimbang jika ia melibatkan sendikit penipuan dan semakin berleluasa serta agresif, misalnya jika melibatkan sendikit pelacuran dan pengedaran dadah.

c) PGM juga bimbang jika janji terhadap GSTT tidak ditunaikan, akan menyebabkab terhakisnya kepercayaan yang kami pupuk terhadap kerajaan yang memerintah. Sudah pasti keadaan ini akan diterjemahkan dalam pilihanraya. Sangat rugi jika pucuk pimpinan yang banyak berjasa dan berkebolehan seperti dalam pemerintahan negara kita pada hari ini terpaksa ditukar hanya kerana rasa tidak puas hati sesama kita akibat janji yang tidak ditunaikan


BERIKUT PULA ADALAH PERKEMBANGAN TENTANG PENYERAPAN GSTT:

Sebelum sessi penyerahan memorandum dilaksanakan, pihak PGM telah diberi penerangan tentang perkembangan proses penyerapan lebih kurang 13 000 GSTT 2010 di seluruh Malaysia. Menurut Pegawai Khas TPM, kerajaan di tahap akhir menyiapkan kertas kerja penyerapan tersebut yang sepatutnya siap pada 1 Julai 2011. Proses ini memakan masa kerana ia melibatkan kesemua lebih kurang 13 000 GSTT yang mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza (SPM/ STPM/ DIPLOMA/IJAZAH). Beliau akan mendapatkan kepastian daripada KSU secepat mungkin dan satu majlis taklimat kepada wakil GSTT dari setiap negeri di Malaysia akan diadakan minggu depan. Pihak PGM akan dihubungi untuk tujuan tersebut

12 ulasan:

  1. salam,
    semalam (5/7/2011) saya menerima panggilan daripada Dato' Nadim. Belaiu memaklumkan bahawa pembentangan kertas kerja peringkat terakhir tentang penyerapan +- 13000 gstt 2010 berlangsung pada hari ini (6/7/2011). Selepas itu beliau akan confirmkan tarikh tepat taklimat utk gstt dengan KSU. Taklimat itu akan diadakan minggu depan

    BalasPadam
  2. En Zul daripada Pejabat Menteri Mesar Perak juga ada menghubungi saya tadi (12:52 -6/7/2011) dan memaklumkan progress tindakan terhadap memorandum yang dihantar ke Pejabat MB Perak. Setelah perbincangan dengan Dato' Ismail, Beliau telah menghubungi Encik Badrul, Ketua Pemuda UMNO Sg Siput (tetapi msh blm berjaya dan masih mencuba)utk menguruskan isu gstt Perak dengan pihak KPM. Dokumen -dokumen yang diperlukan untuk urusan dengan KPM telah beliau siapkan dan pihak PGM akan dipanggil bila2 masa untuk mendapatkannya.

    BalasPadam
  3. Terima kasih kepada semua yang terlibat membantu GSTT, terutama pihak Pej. Menteri Besar Perak serta Pegawai dari Pejabat TPM

    BalasPadam
  4. Tahniah atas segala usaha Persatuan GSTT Malaysia! Hari ini sudah mula ada perkembangan di Johor. GSTT Johor diminta kemas kini online butir peribadi untuk KDC. Cuma harap hati-hati dengan syarat, khasnya kaum hawa. Harap kaum hawa yang mengandung tidak disingkirkan. Pengorbanan mereka sangat besar. Ada yang menangguhkan perkahwinan dan ada yang merancang tidak mengandung semata-mata ingin mengikuti DPLI/KPLI dan sebagainya sebelum ini untuk kejawatan tetap. Jika timbul syarat di atas, sila dapatkan back up Suhakam & Cuepacs,Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, NGO dan sebagainya. Teruskan usaha melalui persatuan ini untuk melakar satu lagi episod bersejarah di arena Perguruan Malaysia !

    BalasPadam
  5. Terima kasih YB_Emas atas sokongan dan cadangan yang bernas. InsyaAllah, doakan moga kami diberi kekuatan oleh Allah untuk teruskan perjuangan

    BalasPadam
  6. saya berharap usaha penyerapan gstt ke jawatan tetap dapat dilakukan secara telus. saya difahamkan, akan ada mtest dan temuduga seperti permohonan kemasukan utk kpli seperti biasa. sy sudah hmpir 9 kali memohon kpli tetapi masih tiada kbr gembira. sy xtau dimana silapnya sehingga x pernah lulus mtest. klu syarat utama utk diserap, gstt terpaksa menduduki mtest seperti biasa, sy xtau apa nasib seterusnya.

    BalasPadam
  7. Nampaknya di Melaka pun sudah ada perkembangan positif, pada hari Isnin pihak JPN telah menghubungi saya untuk kemaskini maklumat peribadi. Harapan saya mg GSTT seluruh Malaysia akan dipanggil dan seterusnya diserap ke jawatan tetap. Itulah harapan saya dan semua GSTT. Buat Team PGM, TERUSKAN USAHA ANDA demi kepentingan semua GSTT. Kami sentiasa menyokong anda. Terima kasih atas usaha yang di lakukan.

    BalasPadam
  8. teruskan usaha..gambate, anda lebih berhak berbanding fresh grad utk ke kpli

    ex pismp ipgm

    BalasPadam
  9. JPN Kelantan dah call GSTT isi borang KPLI

    BalasPadam
  10. Saya mewakili ahli group GSTT Pahang akan memberi sokongan penuh kepada PGM untuk memperjuangkan nasib GSTT.

    Ahli2 group kami pun ada mendapat panggilan dari JPN dan PPD bertanyakan tentang maklumat berkaitan GSTT.

    Jumpa group kami di Facebook : Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) negeri Pahang.

    BalasPadam
  11. Assalamualaikum semua, Salam 1Malaysia, Terima kasih kepada semua yang selama ini bertungkus lumus memperjuangkan nasib gstt. Saya mengucapkan jutaan terima kasih. semoga Allah S.W.T jua yang akan membalas budi Tuan2 dan Puan2 semua. Saya disini sentiasa mendoakan semua rakan2 gstt semoga kita dapat diserap dan dipanggil secepat mungkin kalau boleh bulan 7 ini juga. INSYA ALLAH AMIN.

    BalasPadam
  12. Terima kasih atas sokongan anda semua

    BalasPadam